Monday 28 February 2011

biarkan ia marak membara



hati itu marak membara
mimpi indah bagai abu berterbangan
suaramu yang tidak lagi kudengar
dalam kesepian ini
dimana kau bila hati kita terluka
dimana kau bila semuanya jadi tak keruan
tidak kusangka semua ini hanya satu pembohongan
di manakah dikau?

berapa lama kau boleh menahan kepediahan ini
berapa lama kau boleh sembunyi dari realiti
berapa lama kau ingin hidup dalam ketakutan
adakah kau takut?
berapa lama permainan ini perlu diteruskan
adakan kau akan bangkit melawan
atau lari sembunyi
biarkan ia marak membara!

hati itu marak membara
keinginan ini hampir padam, malap
pengajaran yang selalu diabaikan
hanya diselubungi kesamaran
adakah hidupmu hanya tentang sebuah janji yang dimungkiri
adakah cintamu bagai satu titis hujan
yang tidak mampu memadamkan api ini
adakah kau masih di sana

adakah memori ini akan menghantui selamanya?

Tuesday 8 February 2011

owhhhh

Perubahan memang tidak dapat dielakkan. Hidup sememangnya tiada kepastian. Mungkin sekarang kita begini dan mungkin esok kita begitu. Lumrah dunia, ibarat putaran roda, semuanya mungkin berubah sekelip mata. Hari ini kita menikus, namun mungkin suatu hari nanti kita akan mengaum ibarat singa.

Kondisi aku juga berubah. Status berubah. Rakan-rakan turut berubah. Hidupku berganjak. Bagai satu bulatan, selepas lengkap satu pusingan aku kembali ke satu titik asal. Bayangkan 6 semester ini merupakan satu roda kehidupan, semester akhir ini kurasa bagai berada di semester 1. Aku hampir melengkapkan pusingan ini! Aku kini berada di titik itu!

Apa ada pada titik asal? Kehidupan yang agak membosankan-terperuk di Jati. Kurang keakraban-berada dalam proses suai kenal. Status kewangan hampir sama-walaupun jauh lebih baik. Kesedaran belajar meningkat. Kepatuhan kepada SUKSIS- tahap tertinggi.

Jadi apa masalahnya semester ini? Kebosanan menggila. Kawan-kawan lepak telah berpecah. Tidak seakrab dulu, ya bagaikan masih dalam proses suai kenal. Kawan yang berumah tangga punyai tanggungjawab yang perlu dipikul, amanat Tuhan. Kawan-kawan yang berpacaran, lumrah alam. Kawan-kawan kaki wayang, kaki lepak di mamak sedang berpraktikal. Hanya aku yang terperangkap "in the middle of nowhere". Bagai berada di titik asal itu- rasa keseorangan.

Ekonomi? Perlu mengorak langkah drastik. Semuanya mesti berhemah. Aku bukan muda lagi, sudah layak mengundi, sudah boleh mendukung dua bayi serentak. Simpanan tetap perlu ada demi masa depan yang tidak menentu. Tidak boleh lagi joli katak sesuka hati. Duduk di bilik dan online. Bagai berada di titik asal itu- rasa kesempitan.

Study? Semangat seperti semester 1 tapi masih lagi malas. Cuma kesedaran tiba-tiba menggunung. Mengharapkan yang terbaik untuk diri dan keluarga, agar menjadi contoh ikutan yang bongsu-bongsu. Gementar jika gagal. Bagai berada di titik asal itu- fikiran skema.

SUKSIS? Rasa patuh bagai sebati dengan diri. Rasa takut untuk memberontak, menentang, melawan. Kenapa? Mungkin sejajar dengan usia dan kematangan, jiwa memberontak hilang sedikit demi sedikit. Bagai berada di titik asal itu- takut, patuh.

Apa lagi? Dia masih kekal di sisi. Hampir tiga tahun berkongsi suka duka. Muka hendak makan penumbuk. Tapi seribu kali lebih bagus dari yang mengada-ngada. Sejuta kali lebih bagus dari yang perasan bagus tetapi suka menyusahkan lelaki. Kecil hati jarang sekali, paling kurang muncung hingga ke petang. Tetapi semuanya diambil mudah, jadi tiada keserabutan apatah lagi keributan yang mungkin meloyakan orang lain untuk mendengarnya. Tahniah!

Kepada kawan yang kurasa paling banyak berjasa kepadaku sepanjang 6 semester ini, tanpa henti menyediakan nota-nota, mengajarku tanpa jemu, mengurus kelas dengan jayanya, anda mengingatkanku kepada seseorang, yang telah lama kutinggalkan di sekolah menengah, ALI namanya. Aku selalu meniru kerja rumahnya, meminta dia mengajarku, selalu sahaja menyusahkan dia. Begitu juga aku merasakan diriku yang sentiasa menyusahkan engkau. Nasib aku baik sedikit berbanding ALI, walaupun aku selalu menyusahkan dia tetapi resultku sentiasa melebihinya, baik PMR mahupun SPM. Tapi itu dulu kerana rezekinya sekarang lebih baik dariku, melanjutkan pelajaran dalam perubatan keluar negara! berbanding diriku yang hanya menumpang di sini. Nasibmu juga sama seperti ALI, sentiasa membantuku tetapi rezekimu kurang sedikit berbandingku. Tetapi aku percaya dengan seyakin-yakinnya bahawa nasibmu akan menjadi seperti ALI, lebih berjaya dariku lagi di masa hadapan, berkat usaha ikhlasmu yang sering membantu rakan-rakan tanpa kenal jemu. Percayalah, Tuhan akan membalasnya dengan kenikmatan yang tidak terjangkau oleh fikiranmu. Mungkin ketika itu aku hanya seorang kakitangan kerajaan bergaji tetap sedangkan engkau peguam terkenal berpendapatan lumayan. PERCAYALAH! Terima kasih daun keladi, jasamu mustahil untuk kubalas kawanku. Jangan lupa aku nanti pabila sudah berjaya.

Aku bersyukur dengan hidupku ini. Putaran roda BLS hampir lengkap. Cuma sedikit perisa dan rempah yang perlu ditambah. Mari kawan-kawan kita menghayati alam ini sebelum masuk ke lapangan pekerjaan yang pasti membosankan :)


Related Posts with Thumbnails
 
Blogger design by suckmylolly.com - background image by Wagner Campelo