Monday 5 September 2011

Diari si pemandu lori tangki

Syam melabuhkan punggungnya di tembok batu itu, melunjur kaki, menghadap laut, melihat deruan lembut ombak di Selat Dinding. Feri Pangkor ulang-alik silih berganti, bot-bot nelayan menjengah ke muara. Dia menarik nafas dalam-dalam sambil otaknya ligat berfikir, mungkin juga berangan, tentang hala-tuju dirinya selepas ini. Dunhill? Suria? Pall Mall? Oh, Syam tidak merokok. Dia bersetuju bahawa merokok meningkatkan kemachoan dan kejagoan diri, seperti yang diperaktikkan oleh koboi-koboi di negara Uncle Sam tetapi pada masa yang sama juga membunuh, membinasa dan memperbodohkan diri sendiri. Kelihatan juga pasangan kekasih yang sedang memadu asmara di seberang sana, ironi kepada dirinya yang keseorangan. Tetapi matanya lebih  tertumpu kepada kapal-kapal perang TLDM yang berlabuh megah di selat itu. "Jadi Navy kan best, dulu yang ko join SUKSIS tu buat ape," bisik dirinya.

Dia masih lagi terpaku di situ, masih keseorangan, bayu laut dan kicau burung sahaja yang menjadi peneman dirinya. Syam sebenarnya seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang. Dia seorang penuntut yang agak cemerlang di  UiTM law school. Buktinya, sudah dua kali dia menerima angerah dekan dari pihak universiti. Lebih mengejutkan bahawa dia juga adalah seorang pemegang biasiswa JPA! Tetapi sekarang nasibnya tidak menentu, sudah enam bulan dia menjadi penganggur terhormat, menghabiskan duit ibu bapanya yang juga pesara guru. Nasibnya itu menjadi bahan bualan jiran sekampung. Ada yang mencaci dan ada yang mengeji. Harap sahaja ada Ijazah undang-undang tapi masih lagi menganggur. Tambah menyakitkan hati apabila nama keluarganya turut menjadi bahan gosipan masyarakat kampung. Ramai rakan sekampung telah berjaya dan mendapat kerja tetap, menjadi kebanggaan ibu bapa mereka.

Syam gusar, dia anak sulung dari enam adik-beradik tetapi nasibnya masih lagi terumbang-ambing. Mana mungkin hal ini akan menjadi contoh baik kepada adik-beradiknya. Pelik bin ajaib, rakan-rakannya yang lain dari jurusan yang sama sudah mendapat kerja tetap, termasuklah kekasihnya Izzah. Hanya dia yang masih terkapai-kapai. Penerima biasiswa JPA tidak mendapat kerja? Ya! Pernah juga Syam bertekak dengan seorang pegawai unit latihan JPA akan nasibya itu dan jawapan yang diberi amat mengecewakan. "Encik Amir Syam Mansur, buat masa sekarang ini kami tiada jawatan yang sesuai untuk anda. Anda boleh terus menunggu atau pihak JPA boleh membatalkan kontrak anda secara persetujuan bersama", kata Puan Norliza. Muncung sahaja bibir Syam pada masa itu. Dia nekad, pilihan kedua yang diberi oleh Puan Norliza yang akan diambilnya. Berapa lama lagi dia harus menunggu. Selepas menandatangani dokumen pembatalan kontrak, Syam dengan langkah sayu menuju keluar dari Pejabat JPA Putrajaya. Gelap dunia ini dirasakannya pada masa itu. Dapat dia rasakan bahawa penulisan-penulisannya yang anti-kerajaan di blog adalah penyebab kepada nasib malangnya ini. Mungkin kritikan pedasnya kepada Datin Seri Rosmah Mansor telah dihidu oleh SB polis dan sampai ke pengetahuan JPA. Patutkah dia menyesal? Adakah betul pilihannya?

Ada yang bertanya kenapa dia tidak memohon sahaja kerja di firma-firma guaman dengan kelulusannya itu. Alasannya mudah, dia tidak berminat, dia tidak yakin dan dia takut! Hanya kerja kerajaan yang menjadi idaman. Kadang-kala dia merasa sangant ironi dengan dirinya, mengkritik pedas kerajaan tetapi mengharapkan belas ihsan dari mereka. Ada baiknya dia mengampu sahaja puak-puak itu, pasti sekarang dia telah menjadi seorang kakitangan awam di Pejabat Peguam Negara. Syam malu dengan Izzah. Dulu dilihat Syam akan lebih berjaya dari Izzah kerana Izzah bukanlah seorang pelajar yang cemerlang dan hanya meminjam dari PTPTN. Kini takdir telah bertukar arah, Izzah telah mendapat kerja tetap di sebuah firma guaman di ibu kota, bergaji agak lumayan dan baru sahaja memiliki sebuah Toyota Vios. Syam? Masih lagi dengan motosikal Kriss cabuknya. Izzah si comel yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan telah mula membuka mulut tentang bila mereka boleh diijab kabulkan. Syam semakin pening kepala. Izzah tidak mahu menjadi anak dara tua kerana menuggunya.

Syam bangun lewat hari itu. Mentari sudah berdiri tinggi. Entah mengapa tergerak hatinya untuk membeli akhbar, terus dia ke pasar mini yang terletak di taman sebelah. Dicapainya Sinar Harian dari rak usang. Sekali lagi die menerima sindiran dari Kak Kiah, si penjaga kaunter, "Amboi peguam baru bangun, dah menang kes dah?". Syam hanya terdiam, malas hendak membalas, hanya kesabaran yang menjadi benteng dirinya. Seperti biasa ruangan sukan dibeleknya terlebih dahulu sebelun menjengah ke segmen-segmen lain. Tiba-tiba matanya tertumpu kepada sebuah iklan kerja kosong oleh Shell Malaysia. "Pemandu lori tangki diperlukan, latihan selama tiga bulan, tempat tinggal disediakan dan elaun sara diri sebanyak RM300 sebulan akan diberi. Pengalaman tidak diperlukan, cukup sekadar mempunyai lesen motokar," baca Syam sambil mengukir senyuman. Adakah Syam akan buat kerja gila? Graduan undang-undang pertama yang menjadi pemandu lori tangki? Jawapannya ya! Syam nekad. Semacam ada  magnet yang menarik dirinya ke arah itu. Mungkin itulah takdirnya.

Satu perkara yang menggembirakan adalah kedua orang tuanya tidak memandang serong kepada hasrat gilanya itu. Kata mamanya, "Pergilah Syam, mama tak kisah pun kamu kerja apa, asalkan rezeki yang kamu dapat tu nanti halal. Berusahalah bersungguh-sungguh Syam, kamu taat dengan kami selama ini dan mama amat bangga dapat anak macam kamu walau apa pun kerja kamu. Dan sekarang apa yang kami boleh buat adalah berdoa agar kamu berjaya." Tersentuh hati Syam mendengar kata-kata perangsang dari mamanya. Dia tahu bahawa sejak kebelakangan ini mamanya agak menderita kerana ramai orang yang mengata belakang tentang nasibnya yang masih lagi tidak bekerjaya. Dia mengagak bahawa selepas ini pasti mulut-mulut itu akan lebih lancang lagi mengeji dirinya, pemilik lulusan ijazah undang-undang yang hanya merupakan seorang pemandu lori tangki Shell.
Bangunan Shell Malaysia
Changkat Semantan, Damansara Heights
P.O. Box 11027, 50732 Kuala Lumpur

Itulah alamat yang ditunjukkan kepada pemandu teksi berbangsa India yang ditahannya di Pudu Central. "Cepat sikit ek pakcik, saya ada temuduga ni." kata Syam dalam keadaan separuh gelabah. Temuduga? Syam juga pelik, takkan pemandu lori juga perlu ditemuduga. Tetapi didiamkan sahaja persoalan itu di benak fikirannya. Berbekalkan sijil SPM dan beberapa keping sijil lain, dia melangkah laju menuju ke bangunan itu. Dia gusar jika dia tidak diterima untuk menyertai skim latihan itu kerana keputusan SPMnya agak bagus, 9A! Dia dibawa ke sebuah bilik yang agak besar, tempat menunggu barangkali. Langkahannya dibayangi oleh mock interview yang pernah dihadirinya di fakulti suatu ketika itu. Teruk juga dia dibantai oleh pesyarah dan rakannya yang menjadi penemuduga. Pintu bilik dikuak.

Alangkah terkejutnya dia bahawa bilik itu dipenuhi oleh lelaki-lelaki Melayu, Cina, India yang lebih tua darinya, mungkin semua sudah berkeluarga! Lebih memalukan Syam dengan 'black and white attire' nya, hanya dia yang berpakaian kemas, yang lain hanya memakai T-shirt berkolar dan berseluar jeans sahaja. Syam malu-malu kucing. Dia sudah menjadi objek tumpuan dan bualan lelaki-lelaki di situ. Ada juga yang memanding sinis dan menggelakkannya. Itu sahaja pakaian yang Syam ada kerana pelajar undang-undang diwajibkan berpakaian sebegitu di UiTM. "Dia ingat dia nak apply kerja jadi PM ke...hahaha," gelak seorang lelaki Melayu 30-an. Oh tidak, langkah kiri untuk Syam! Dia hanya membatu di suatu sudut di bilik itu. Dia tidak berani untuk menegur sesiapapun, bimbang dirinya diperli lagi. Padanlah tadi semasa di kaunter pertanyaan, seorang kakak hanya tersenyum kambing apabila melihatnya.

Lama juga dia menunggu, mengenang nasib malangnya hari itu. "Amir Syam Mansur!", namanya dipanggil tegas oleh seorang wanita, barangkali setiausaha syarikat. Deras langkahnya ke sebuah bilik kecil sambil disambut hilai tawa dari lelaki-lelaki lain. Melopong mulut dua orang penemuduga semasa Syam melangkah masuk ke bilik itu. Syam menyedarinya tetapi berpura-pura selamba. Mungkin gaya Syam yang ala-ala pendakwa raya memukau mereka. Sijil-sijilnya dihulurkan penuh adab dan dia memohon untuk duduk. Encik Murad dan Encik Latif sekali lagi terlopong sambil juga terbeliak mata. Berdasarkan tag nama di atas meja, mereka merupakan pengurus logostik di syarikat itu. "Awak biar betul, keputusan bagus macam ni nak jadi pemandu lori. Anak saya pun tak dapat macam ni, jangan nak main-main dengan kami," kata Encik Latif. "Awak tak masuk universiti ke, jangan-jangan sijil palsu," tambah Encik Murad. Syam gelabah seketika, otak peguamnya ligat berfikir bagaimana untuk memberi jawapan."Encik, saya tidak berbohong, sijil ini asli, cuba periksa dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia jika encik ragu-ragu. Saya gagal di matrikulasi encik, hanya sempat satu semestar belajar di Kolej Matrikulasi Perak, sebab itulah saya kemari, mencuba nasib encik. Tolonglah saya, saya merayu dengan rendah hati encik..." jelas Syam panjang lebar. Memang dia pernah belajar di Kolej Matrikulasi Perak selama satu semester sebelum dia mendapat tawaran Asasi Undang-undang di UiTM Merbok, Kedah. Syam tidak berbohong! Memang itu hakikat dirinya. "Awak ada lesen memandu?", tanya Encik Murad. "Ada encik, lima tahun dah saya ada lesen motor dan kereta, tapi lesen lori takdelah", jawab Syam. "Awak hisap rokok?", Soal Encik Latif. Dengan pantas Syam menjawab, "Tidak encik". "Tentang lesen lori awak jangan bimbang, kami akan latih awak selama tiga bulan dan memang kami mencari pemandu yang tidak merokok kerana mengendalikan lori tangki adalah satu tugas yang amat merbahaya," tambah Encik Murad dengan penuh tegas.

Syam pulang ke Lekir dengan penuh harapan. "Rasa-rasa macam dapat," getus hatinya. Bersandarkan kepada respon kedua penemuduga itu kepadanya, dia yakin bahawa dia akan berjaya untuk menyertai skim latihan tersebut. Seperti biasa, mamanya setia menunggu kepulangan anak sulung keluarga itu, bagai tiada apa yang berlaku. Sekali lagi Syam berasa agak sebak, bilalah dia boleh membalas jaga pesara guru itu. Tiga hari Syam menunggu, akhirnya panggilan yang dinanti tiba. Seperti yang dijangkakannya, dia dapat menyertai skim latihan itu dan diminta lapor diri segera. Syam melompat kegirangan walaupun hakikatnya jawatan itu hanyalah sebagai seorang pemandu lori tangki minyak sahaja. Telah lama dia tidak merasa segembira itu. Benar kata orang, kegembiraaan itu hak mutlak Allah dan dengan hanya sekecil perkara pun, boleh juga mengembirakan hati manusia. Tapi mengapa? Mengapa semua ini terjadi kepada Syam, seorang pemegang Ijazah Undang-undang? Hanya Allah yang Maha mengetahui.

Tiga bulan berada di pusat latihan Shell, Kuala Lumpur, merupakan satu pengalaman baru yang menarik untuk diri Syam. Segala persoalan yang bermain dalam benak fikirannya terungkai. Mengapa pemandu lori tangki perlu ditemuduga? Kerana tugas ini lebih sukar daripada yang disangka, sedikit sahaja kealpaan akan membawa mala-petaka yang amat dahsyat. Bagi Syam, kerja ini lebih sukar daripada menjadi seorang magistret atau peguam yang hanya perlu bermain dengan fakta dan kata-kata. Semua calon diajar bermula daripada peringkat asas tentang pemanduan lori tangki, walaupun calon tersebut telah mempunyai pengalaman terdahulu berkaitan dengan pemanduan lori. Tiada pengecualian diberikan kerana Shell amat menitik-beratkan aspek-aspek keselamatan. Sebab itulah jarang-jarang kita melihat lori tangki yang terlibat dengan kemalangan. Syam diajar cara-cara mengendalikan lori tangki secara selamat, pemanduan berhemah, 'defensive driving', pertolongan cemas dan macam-macam lagi. Memindahkan bahan bakar dari lori ke stesen minyak merupakan tugas yang amat mencabar bagi Syam. Walaupun dilihat mudah, tetapi tugas ini memerlukan ketelitian kerana boleh membahayakan ramai nyawa jika tidak dilakukan dengan cara yang sepatutnya. Syam juga mendapat ramai kawan, yang tua dari usianya dan penuh dengan pengalaman hidup. Manakan tidak, semua orang mengenalinya dek kerana penampilannya semasa proses temuduga dahulu. Akhirnya Syam memperoleh lesen memandu lori kelas E serta GDL. Berita itu disampaikan kepada mamanya dahulu di kampung. Akhirnya Syam bakal menjadi pemandu lori tangki secara rasmi, graduan undang-undang pertama yang menjadi pemandu lori tangki!

Kini telah hampir tiga bulan Syam menjadi pemandu lori tangki Shell. Gajinya tidak seberapa, cuma RM1500 sebulan. Tetapi dia berasa amat bersyukur kerana akhirnya dia mempunyai kerja yang tetap. Hari ini dia ditugaskan untuk memandu lori tangki ke stesen minyak Shell di Pontian, Johor. Dia ditugaskan bersama co-driver, abang Ramli. Abang Ramli telah berumur 40 tahun, jauh berbeza dengan usia dirinya. Mereka bergilir-gilir memandu. Tiba-tiba Syam terkenang peristiwa semasa kali pertama memandu lori tangki ke Kangar, Perlis. Dia hampir terlibat dengan kemalangan kerana terlelap di Lebuhraya Utara Selatan! Syukur kepada tuhan kerana memanjangkan hayatnya. Selepas dari persitiwa itu dia menjadi semakin berhati-hati. Kemalangan yang melibatkan lori tangki yang bermuatan penuh pasti akan mengundang padah. Syam berbangga dengan kerjayanya itu. Malah, dia juga telah menyertai komuniti pemandu-pemandu lori semalaysia di facebook.  Bukan calang-calang orang yang boleh memandu lori enam gandar. Merasalah juga Syam memandu lori di dalam bulan puasa, dalam lapar dan dahaga. Sekarang baru dia tahu betapa azabnya memandu lori yang berat dan perlahan untuk perjalanan yang amat panjang. Hanya radio Fly.fm yang menjadi peneman dirinya dikala sepi. Syam juga berasa hebat di jalan raya kerana memandu kenderaan besar. "Siapa berlagak aku langgar dengan lori Scania ni!," kata hatinya. Tetapi ada satu perkara yang menggusarkan dirinya sekarang, hari raya semakin tiba! Dia tidak dapat menjangka apakah reaksi sanak saudara tentang kerja barunya itu.

Cik Nor Izzah? Kekasihnya selalu meratap sedih mengenangkan nasib Syam. Nasib mereka kini berubah. Izzah lebih beruntung dari Syam. Tambah melukakan hati Izzah apabila Syam memohon untuk memutuskan hubungan mereka. Alasan Syam adalah kerana mereka tidak setaraf, tidak sekufu. Keluarga siapa yang sudi bermenantukan dirinya, seorang pemandu lori tangki. Sedangkan Izzah sendiri mempunyai kerja yang lebih baik dari Syam. Syam juga malu untuk menyunting Izzah. Tetapi Izzah seorang kekasih yang setia, dia menolak mentah-mentah permohonan itu. Mereka pernah berjanji untuk sehidup semati. Dia akan menunggu Syam sampai bila-bila!

Aidil fitri pun menjelma. Buat pertama kali Syam membeli semua kelengkapan rayanya menggunakan dana peribadi. Maklumlah, gaji RM1500 sebulan memang cukup untuk menampung hidup seorang bujang. Syam juga buat pertama kalinya menyediakan duit raya untuk sepupu-sepupu kecilnya, RM5 satu sampul. Itu sahaja kemampuan dirinya, si pemandu lori tangki. Sanak saudara berkumpul di rumah datuk di Taman Melawati, Ulu Kelang.  Suasana hari raya memang meriah, tetapi perkara yang ditakuti Syam menjadi kenyataan. Sanak-saudara kecoh apabila mengetahui bahawa dirinya telah menjadi seorang pemandu lori tangki. Ada yang memberi galakan malahan ada juga yang memandang sinis. Maklumlah, mereka semua bekerja hebat belaka, dari ahli farmasi sehinggalah jurutera. Cuma Syam sahaja seorang pemegang Ijazah Undang-undang yang menjadi pemandu lori tangki. Syam berasa rendah diri dan cukup terkilan apabila ada mulut jahat yang mengata di belakangnya. Dia juga bimbang akan perasaan ibunya. Tapi apakan daya, dia telah memilih jalan hidup sebegitu. Sempat juga dia bersembang dengan pak long yang tidak putus-putus memberi kata semangat dan galakan untuknya meneruskan kehidupan. Dia yang juga pesara kerani bank bermula dengan hanya menjadi seoang tukang masak di dalam keretapi. Tapi kini hidupnya agak mewah. "Kau bersabarlah Syam, aku tetap sokong apa kau buat, janji rezeki yang kau dapat ni halal. Jangan putus asa Syam, rezeki Allah ini ada di mana-mana, hari ini hari mereka, Insyallah nanti hari kau pula, percayalah Syam," kata pak long. Syam hanya mampu mengangguk-angguk sahaja, hanya tersenyum tawar sambil menyimpan seribu kehampaan kerana sikap sebahagian dari saudaranya.

Syam pulang bekerja dengan perasaan yang bercampur-baur. Hari itu dia ditugaskan untuk membawa lori tangki ke Pekan Gemas, Johor. Tetapi dia tidak tahu siapa yang akan bersamanya menjadi co-driver. Masuk sahaja ke dalam lori Scania, kelihatan susuk tubuh yang tidak dikenalinya menghulurkan tangan. "Saya Munsyi," kata lelaki berumur 50-an itu. Bagi Syam, Munsyi kelihatan bukan seperti pemandu lori tangki kerana penampilannya agak kemas, ala-ala orang korporat. Tetapi diketepikan sahaja perasaanya itu lalu mereka berkenalan dengan lebih dekat. Munsyi peramah orangnya. Syam hanya melayan pertanyaan Munsyi sepanjang perjalanan ke Gemas. Nasib mereka malang pada hari itu kerana ditahan oleh Penguatkuasa JPJ di lebuhraya. Kerana umurnya baru sahaja mencecah 26 tahun, sedikit kesangsian timbul tentang lesen yang diperolehi oleh Syam. Mykadnya diimbas oleh penguatkuasa. "Oh, awak bekas sukarelawan polis di UiTM?" tanya Tuan Ashraf. Tersentak Syam mendegar perkara itu. Masakan pula maklumat itu ada dalam cip Mykadnya. Munsyi yang berada di sebelahnya juga juga turut terkejut. "Benar tuan, saya bekas sukarelawan polis di UiTM. Sekarang saya tidak aktif lagi tuan," kata Syam tersekat-sekat. Mendengar penjelasan itu Tuan Ashraf membenarkan mereka meneruskan perjalanan tanpa sebarang tindakan. Syam lega.

Di dalam lori mereka berbual panjang tentang perkara tersebut. Munsyi tidak menyangka bahawa Syam adalah seorang bekas sukarelawan polis. Tanpa disangka, Syam membocorkan rahsianya, "Munsyi, kau jangan bagi tahu orang. Aku ni sebenarnya bekas pelajar UiTM. Aku ambik ijazah undang-undang". Munsyi tergelak besar mendengar penjelasan daripada Syam. Mana mungkin graduan undang-undang hanya mampu menjadi pemandu lori tangki. Kata Syam mempertahankan dirinya, "Kau gelakkan aku Munsyi, tapi baguslah kalau kau tak percaya. Selamat sikit aku, kalau bos tahu mati aku, aku berbohong pasal kelayakan akademik aku semasa memohon skim latihan dulu". Munsyi masih lagi tidak dapat menahan gelaknya. "Ijazah undang-undang konon, ade hati nak kelentong aku...hahaha". Mereka bergurau senda tentang perkara tersebut sepanjang perjalanan pulang.Sempat juga Syam mengadu nasib tentang keadaan yang menimpanya di hari raya kepada Munsyi, tetapi masih lagi digelakkan olehnya. "Memang tidak berhati perut orang tua ni," kata Syam.

Dua minggu kemudian Syam dipanggil oleh pengurusan tertinggi secara mengejut. Padanlah dia merasa tidak sedap hati semasa menunggang Kriss buruknya ke tempat kerja tadi. Rakan-rakannya juga terkejut mendengar perkara tersebut. Dia curiga bercampur takut. "Apa pulak balanya kali ni," jerit hatinya. Di bilik mesyuarat kelihatan Encik Murad dan Encik Latif sedang berbincang tentang sesuatu. Syam terkejut apabila melihat Munsyi yang mempengerusikan mesyuarat tersebut. Hatinya mula berdegup kencang. Syam diminta berdiri di hadapan mereka. "Syam, saya perkenalkan ini Encik Munsyi, pengurus besar bahagian logistik Shell Malaysia". Berderau darah Syam apabila mendengar penjelasan itu. Syam telah kantoi dengan bos besarnya sendiri! Dia berserah pada tuhan.

"Awak telah  menipu syarikat ini Syam, awak tidak jujur," kata Encik Munsyi memulakan bicara. Syam cuba mempertahankan dirinya tetapi cepat-cepat dipotong oleh Encik Munsyi. Syam hanya mampu terdiam kaku. "Syam, saya sudah periksa latar belakang kamu. Graduan ijazah sarjana muda undang-undang dari UiTM dengan keputusan 'second class upper'. Apa yang kamu cuba buktikan sebenarnya dengan memohon untuk menjadi pemandu lori tangki di syarikat ini? Kamu bohong kami Syam. Kamu tidak layak untuk jawatan ini," jelas Encik Munsyi dengan panjang lebar. "Memang saya telah mengesyaki sesuatu apabila melihat sijil SPM kamu Syam, sebab itu saya panjangkan perkara ini kepada Encik Munsyi," tambah Encik Murad. Syam mendongak ke syiling, mungkin merenung nasibnya selepas ini dan kemudian dia bersuara, "Izinkan saya mempertahan diri encik. Memang benar apa yang encik katakan tentang kelayakan akademik saya tetapi saya tidak pernah berbohong encik. Saya hanya tidak mengepilkan ijazah saya kerana saya tahu mustahil untuk encik menerima saya sebagai pemandu lori tangki dengan kelayakan ini. Tetapi saya sudah buktikan encik bahawa saya juga seorang pemandu yang baik walaupun mempunyai segulung ijazah. Jadi saya rasa tiada isu di sini. Saya adalah pekerja yang kompeten untuk syarikat ini!". Pengurus-pengurus itu terdiam seketika. Memang benar apa yang Syam katakan kerana dia adalah seorang pekerja yang bagus. Syam juga dapat mengagak bahawa masanya telah tiba untuk pergi dari syarikat itu. Dia pasti dipecat!

"Kerana kesalahan kamu menipu syarikat, kamu akan dipecat dari jawatan kamu selaku pemandu lori tangki syarikat kami," kata Encik Munsyi degan tegas. Syam yang sudah mengagak nasibnya menerima keputusan itu dengan tenang, mengucapkan terima kasih dan ingin berlalu pergi dari situ. Namun hasratnya itu terbantut apabila ditahan oleh Encik Latif, "Eh, nanti dulu. Kami belum selesai dengan kamu lagi". Syam yang sudah tidak bermaya hanya mampu merenung jauh. "Dengan ini syarikat bersetuju untuk melantik kamu ke jawatan eksekutif pengurusan dan pentadbiran bersesuaian dengan ijazah yang kamu miliki dan perlantikan ini berkuat-kuasa serta merta. Gaji yang ditawarkan ialah RM3500 sebulan selepas diambil kira gaji kamu untuk jawatan sebelum ini. Kamu bersetuju dengan tawaran ini?," kata Encik Munsyi. Syam masih lagi terpaku lalu berkata, "Encik bertiga nak merasa pelempang saya ke, cukup-cukuplah menghina saya encik, saya tahu saya ni orang susah, pemandu lori tangki sahaja. Balas Encik Munsyi, "Ya Allah budak ni, aku cakap betul-betullah, bukan main-main. Ini betul-betul, ini bukan cobaan!". Encik Latif dan Encik Munsyi hanya tergelak besar mendengar kata-kata itu. Mereka juga ketawa melihat telatah Syam yang kelihatan agak marah.

Tiba-tiba air mata panas mengalir ke pipi Syam. "Alhamdulillah, syukur ya Allah." kata Syam. Segala penderitaannya dirasakan tiba-tiba hilang. Dia ditenangkan oleh Encik Murad, "Kami tahu segalanya tentang kamu Syam dari Encik Munsyi. Encik Munsyi telah menyamar sebagai pemandu lori tangki dan mengintip siapa kamu sebenarnya. Jadi syarikat berasa amat bertanggungjawab apabila mengetahui ada pekerja yang mendapat ganjaran tidak wajar berdasarkan kelayakan mereka. Adalah zalim bagi syarikat untuk terus menggaji kamu sebagai seorang pemandu lori tangki sedangkan kamu mempunyai kelayakan yang agak tinggi". Penjelasan itu ditambah pula oleh Encik Latif, "Kami amat kagum degan semangat kamu Syam yang sanggup bermula dari bawah sedangkan kamu mempunyai kelayakan untuk berada di tempat yang lebih tinggi. Semangat ini tidak ada pada anak muda zaman sekarang. Kamu adalah aset syarikat ini Syam. Pengalaman kamu di peringkat bawahan amat bermakna dan sebab itu syarikat berani menawarkan jawatan ini kepada kamu, tahniah Syam".

Syam keluar dari bilik mesyuarat sambil disambut sorakan oleh rakan-rakannya. Masing-masing mengucapkan tahniah kepadanya tatkala Syam masih lagi diselubungi air mata. Mungkin air mata itu menggambarkan beban dan penghinaan yang ditanggungnya selama ini. "Pandai kau tipu kami Syam, rupanya kau ni peguam, padanlah dulu pergi temuduga pakai hitam putih," kata rakannya. Syam hanya mampu tersenyum kecil. Dia merasa amat gembira Tetapi apa yang bermain di benak fikirannya sekarang adalah mama dan abahnya di kampung.

Syam pulang ke Lekir dengan memandu Toyota Rush yanag baru dibelinya dua hari lepas. Kelibatnya diperhati jelas oleh jiran tetangga. Masing-masing mula membuat andaian tentangnya. Masakan pula pemandu lori tangki boleh memiliki Toyota Rush, jauh panggang dari api! Mama juga sedikit bingung apabila melihat kereta idamannya diparkir di hadapan rumah. "Siapa pulak datang ni, cantiknya Rush," getus mama. Terkejut besar apabila melihat anak sulungnya muncul dari dalam kereta. Mereka bersalaman dan berpelukan mesra. Semuanya dijelaskan secara terperinci oleh Syam. Minggu depan ibunya berjanji untuk membuat kenduri kesyukuran tentang jawatan baru anaknya itu. Mulut-mulut orang kampung yang sering melemparkan tohmahan terkatup rapat, Kak Kiah terutamanya. Masakan tidak, anak-anak mereka yang baharu setahun dua bekerja hanya mampu memiliki kereta nasional sahaja. Syam lega, mamanya turut tumpang gembira. Nah kau orang kampung!

Syam melabuhkan punggungya di tembok batu itu, melunjur kaki, menghadap laut, kali ini dia tidak lagi keseorangan. Dalam pelukan erat ialah Cik Nor Izzah yang baru dinikahinya pada minggu lepas. Hatinya memanjatkan setinggi kesyukuran kepada tuhan kerana nasibnya telah berubah. Dia bersyukur kerana berjaya mengharungi segalanya dengan tabah. Sesungguhnya semua itu mengajarnya tentang erti kesusahan, erti keikhlasan dan erti kehidupan sebenar. Bersyukurlah dengan apa yang ada kerana ada insan yang lebih menderita daripada kita. Terima kasih tuhan. Syam menghirup bayu laut, masih lagi tanpa rokok, bunyi kicau burung menjadi halwa telinga. Hatinya tidak putus-putus mengucapkan kalimah syukur. Syam hanya tersenyum simpul apabila melihat seorang insan yang sedang merenung jauh di seberang sana, realiti dirinya suatu ketika dahulu.

(Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata)

Related Posts with Thumbnails
 
Blogger design by suckmylolly.com - background image by Wagner Campelo