Motosikal itu kaku di beranda,
Uzur, badan berhabuk teruk, tayar pancit,
Mungkin hayatnya sudah sampai ke penghujung,
Tidak lagi boleh memberi manfaat.
Odang bersandar di kerusi roda,
Dulu berisi, sekarang kurus melidi,
Kelihatan kaki yang tinggal tulang-temulang,
Tapi odang gagahkan diri,
Kesana kemari menolak kerusi itu.
Nasib mereka sama, Odang dan motosikalnya
Dulu odang gagah menunggangnya, naik turun bukit,
Kesana-kemari, ke masjid ke ladang,
Kini mereka berdua terlantar keuzuran dimamah usia,
Sayangnya wan pergi dulu, mendahului zamanku.
Terkenang dulu ketika mereka layan kerenah kami adik-beradik,
Penuh mesra, penuh kasih sayang, cucu angkat ini,
Terasa dekat di hati, wan cukup dekat di hati,
Odang juga, dengan masak kurmanya yang lazat,
Tapi masa mencemburui kita.
"Kenal tak Syafiq, Najib?"
Odang da lupa, dulu kamu kecil belaka,
Sekarang sudah berjanggut semuanya,
Tapi odang masih lagi seperti dulu, ulat buku, kuat membaca,
Masakan boleh kulupa NST yang ditatapnya selalu.
Aku hiba, mereka mengasuhku dari kecil, bagai cucu sendiri,
Kini seorang telah pergi dan seorang hanya hanya menanti masa,
Kita tidak boleh melawan takdir ilahi,
Kudoakan semoga kamu bertambah sihat,
Terima kasih atas jasamu.
Sunday, 16 October 2011
Odang
Monday, 5 September 2011
Diari si pemandu lori tangki
Changkat Semantan, Damansara Heights
P.O. Box 11027, 50732 Kuala Lumpur
Alangkah terkejutnya dia bahawa bilik itu dipenuhi oleh lelaki-lelaki Melayu, Cina, India yang lebih tua darinya, mungkin semua sudah berkeluarga! Lebih memalukan Syam dengan 'black and white attire' nya, hanya dia yang berpakaian kemas, yang lain hanya memakai T-shirt berkolar dan berseluar jeans sahaja. Syam malu-malu kucing. Dia sudah menjadi objek tumpuan dan bualan lelaki-lelaki di situ. Ada juga yang memanding sinis dan menggelakkannya. Itu sahaja pakaian yang Syam ada kerana pelajar undang-undang diwajibkan berpakaian sebegitu di UiTM. "Dia ingat dia nak apply kerja jadi PM ke...hahaha," gelak seorang lelaki Melayu 30-an. Oh tidak, langkah kiri untuk Syam! Dia hanya membatu di suatu sudut di bilik itu. Dia tidak berani untuk menegur sesiapapun, bimbang dirinya diperli lagi. Padanlah tadi semasa di kaunter pertanyaan, seorang kakak hanya tersenyum kambing apabila melihatnya.
Syam pulang ke Lekir dengan penuh harapan. "Rasa-rasa macam dapat," getus hatinya. Bersandarkan kepada respon kedua penemuduga itu kepadanya, dia yakin bahawa dia akan berjaya untuk menyertai skim latihan tersebut. Seperti biasa, mamanya setia menunggu kepulangan anak sulung keluarga itu, bagai tiada apa yang berlaku. Sekali lagi Syam berasa agak sebak, bilalah dia boleh membalas jaga pesara guru itu. Tiga hari Syam menunggu, akhirnya panggilan yang dinanti tiba. Seperti yang dijangkakannya, dia dapat menyertai skim latihan itu dan diminta lapor diri segera. Syam melompat kegirangan walaupun hakikatnya jawatan itu hanyalah sebagai seorang pemandu lori tangki minyak sahaja. Telah lama dia tidak merasa segembira itu. Benar kata orang, kegembiraaan itu hak mutlak Allah dan dengan hanya sekecil perkara pun, boleh juga mengembirakan hati manusia. Tapi mengapa? Mengapa semua ini terjadi kepada Syam, seorang pemegang Ijazah Undang-undang? Hanya Allah yang Maha mengetahui.
Tiga bulan berada di pusat latihan Shell, Kuala Lumpur, merupakan satu pengalaman baru yang menarik untuk diri Syam. Segala persoalan yang bermain dalam benak fikirannya terungkai. Mengapa pemandu lori tangki perlu ditemuduga? Kerana tugas ini lebih sukar daripada yang disangka, sedikit sahaja kealpaan akan membawa mala-petaka yang amat dahsyat. Bagi Syam, kerja ini lebih sukar daripada menjadi seorang magistret atau peguam yang hanya perlu bermain dengan fakta dan kata-kata. Semua calon diajar bermula daripada peringkat asas tentang pemanduan lori tangki, walaupun calon tersebut telah mempunyai pengalaman terdahulu berkaitan dengan pemanduan lori. Tiada pengecualian diberikan kerana Shell amat menitik-beratkan aspek-aspek keselamatan. Sebab itulah jarang-jarang kita melihat lori tangki yang terlibat dengan kemalangan. Syam diajar cara-cara mengendalikan lori tangki secara selamat, pemanduan berhemah, 'defensive driving', pertolongan cemas dan macam-macam lagi. Memindahkan bahan bakar dari lori ke stesen minyak merupakan tugas yang amat mencabar bagi Syam. Walaupun dilihat mudah, tetapi tugas ini memerlukan ketelitian kerana boleh membahayakan ramai nyawa jika tidak dilakukan dengan cara yang sepatutnya. Syam juga mendapat ramai kawan, yang tua dari usianya dan penuh dengan pengalaman hidup. Manakan tidak, semua orang mengenalinya dek kerana penampilannya semasa proses temuduga dahulu. Akhirnya Syam memperoleh lesen memandu lori kelas E serta GDL. Berita itu disampaikan kepada mamanya dahulu di kampung. Akhirnya Syam bakal menjadi pemandu lori tangki secara rasmi, graduan undang-undang pertama yang menjadi pemandu lori tangki!
Kini telah hampir tiga bulan Syam menjadi pemandu lori tangki Shell. Gajinya tidak seberapa, cuma RM1500 sebulan. Tetapi dia berasa amat bersyukur kerana akhirnya dia mempunyai kerja yang tetap. Hari ini dia ditugaskan untuk memandu lori tangki ke stesen minyak Shell di Pontian, Johor. Dia ditugaskan bersama co-driver, abang Ramli. Abang Ramli telah berumur 40 tahun, jauh berbeza dengan usia dirinya. Mereka bergilir-gilir memandu. Tiba-tiba Syam terkenang peristiwa semasa kali pertama memandu lori tangki ke Kangar, Perlis. Dia hampir terlibat dengan kemalangan kerana terlelap di Lebuhraya Utara Selatan! Syukur kepada tuhan kerana memanjangkan hayatnya. Selepas dari persitiwa itu dia menjadi semakin berhati-hati. Kemalangan yang melibatkan lori tangki yang bermuatan penuh pasti akan mengundang padah. Syam berbangga dengan kerjayanya itu. Malah, dia juga telah menyertai komuniti pemandu-pemandu lori semalaysia di facebook. Bukan calang-calang orang yang boleh memandu lori enam gandar. Merasalah juga Syam memandu lori di dalam bulan puasa, dalam lapar dan dahaga. Sekarang baru dia tahu betapa azabnya memandu lori yang berat dan perlahan untuk perjalanan yang amat panjang. Hanya radio Fly.fm yang menjadi peneman dirinya dikala sepi. Syam juga berasa hebat di jalan raya kerana memandu kenderaan besar. "Siapa berlagak aku langgar dengan lori Scania ni!," kata hatinya. Tetapi ada satu perkara yang menggusarkan dirinya sekarang, hari raya semakin tiba! Dia tidak dapat menjangka apakah reaksi sanak saudara tentang kerja barunya itu.
Cik Nor Izzah? Kekasihnya selalu meratap sedih mengenangkan nasib Syam. Nasib mereka kini berubah. Izzah lebih beruntung dari Syam. Tambah melukakan hati Izzah apabila Syam memohon untuk memutuskan hubungan mereka. Alasan Syam adalah kerana mereka tidak setaraf, tidak sekufu. Keluarga siapa yang sudi bermenantukan dirinya, seorang pemandu lori tangki. Sedangkan Izzah sendiri mempunyai kerja yang lebih baik dari Syam. Syam juga malu untuk menyunting Izzah. Tetapi Izzah seorang kekasih yang setia, dia menolak mentah-mentah permohonan itu. Mereka pernah berjanji untuk sehidup semati. Dia akan menunggu Syam sampai bila-bila!
Aidil fitri pun menjelma. Buat pertama kali Syam membeli semua kelengkapan rayanya menggunakan dana peribadi. Maklumlah, gaji RM1500 sebulan memang cukup untuk menampung hidup seorang bujang. Syam juga buat pertama kalinya menyediakan duit raya untuk sepupu-sepupu kecilnya, RM5 satu sampul. Itu sahaja kemampuan dirinya, si pemandu lori tangki. Sanak saudara berkumpul di rumah datuk di Taman Melawati, Ulu Kelang. Suasana hari raya memang meriah, tetapi perkara yang ditakuti Syam menjadi kenyataan. Sanak-saudara kecoh apabila mengetahui bahawa dirinya telah menjadi seorang pemandu lori tangki. Ada yang memberi galakan malahan ada juga yang memandang sinis. Maklumlah, mereka semua bekerja hebat belaka, dari ahli farmasi sehinggalah jurutera. Cuma Syam sahaja seorang pemegang Ijazah Undang-undang yang menjadi pemandu lori tangki. Syam berasa rendah diri dan cukup terkilan apabila ada mulut jahat yang mengata di belakangnya. Dia juga bimbang akan perasaan ibunya. Tapi apakan daya, dia telah memilih jalan hidup sebegitu. Sempat juga dia bersembang dengan pak long yang tidak putus-putus memberi kata semangat dan galakan untuknya meneruskan kehidupan. Dia yang juga pesara kerani bank bermula dengan hanya menjadi seoang tukang masak di dalam keretapi. Tapi kini hidupnya agak mewah. "Kau bersabarlah Syam, aku tetap sokong apa kau buat, janji rezeki yang kau dapat ni halal. Jangan putus asa Syam, rezeki Allah ini ada di mana-mana, hari ini hari mereka, Insyallah nanti hari kau pula, percayalah Syam," kata pak long. Syam hanya mampu mengangguk-angguk sahaja, hanya tersenyum tawar sambil menyimpan seribu kehampaan kerana sikap sebahagian dari saudaranya.
Syam pulang bekerja dengan perasaan yang bercampur-baur. Hari itu dia ditugaskan untuk membawa lori tangki ke Pekan Gemas, Johor. Tetapi dia tidak tahu siapa yang akan bersamanya menjadi co-driver. Masuk sahaja ke dalam lori Scania, kelihatan susuk tubuh yang tidak dikenalinya menghulurkan tangan. "Saya Munsyi," kata lelaki berumur 50-an itu. Bagi Syam, Munsyi kelihatan bukan seperti pemandu lori tangki kerana penampilannya agak kemas, ala-ala orang korporat. Tetapi diketepikan sahaja perasaanya itu lalu mereka berkenalan dengan lebih dekat. Munsyi peramah orangnya. Syam hanya melayan pertanyaan Munsyi sepanjang perjalanan ke Gemas. Nasib mereka malang pada hari itu kerana ditahan oleh Penguatkuasa JPJ di lebuhraya. Kerana umurnya baru sahaja mencecah 26 tahun, sedikit kesangsian timbul tentang lesen yang diperolehi oleh Syam. Mykadnya diimbas oleh penguatkuasa. "Oh, awak bekas sukarelawan polis di UiTM?" tanya Tuan Ashraf. Tersentak Syam mendegar perkara itu. Masakan pula maklumat itu ada dalam cip Mykadnya. Munsyi yang berada di sebelahnya juga juga turut terkejut. "Benar tuan, saya bekas sukarelawan polis di UiTM. Sekarang saya tidak aktif lagi tuan," kata Syam tersekat-sekat. Mendengar penjelasan itu Tuan Ashraf membenarkan mereka meneruskan perjalanan tanpa sebarang tindakan. Syam lega.
Di dalam lori mereka berbual panjang tentang perkara tersebut. Munsyi tidak menyangka bahawa Syam adalah seorang bekas sukarelawan polis. Tanpa disangka, Syam membocorkan rahsianya, "Munsyi, kau jangan bagi tahu orang. Aku ni sebenarnya bekas pelajar UiTM. Aku ambik ijazah undang-undang". Munsyi tergelak besar mendengar penjelasan daripada Syam. Mana mungkin graduan undang-undang hanya mampu menjadi pemandu lori tangki. Kata Syam mempertahankan dirinya, "Kau gelakkan aku Munsyi, tapi baguslah kalau kau tak percaya. Selamat sikit aku, kalau bos tahu mati aku, aku berbohong pasal kelayakan akademik aku semasa memohon skim latihan dulu". Munsyi masih lagi tidak dapat menahan gelaknya. "Ijazah undang-undang konon, ade hati nak kelentong aku...hahaha". Mereka bergurau senda tentang perkara tersebut sepanjang perjalanan pulang.Sempat juga Syam mengadu nasib tentang keadaan yang menimpanya di hari raya kepada Munsyi, tetapi masih lagi digelakkan olehnya. "Memang tidak berhati perut orang tua ni," kata Syam.
Dua minggu kemudian Syam dipanggil oleh pengurusan tertinggi secara mengejut. Padanlah dia merasa tidak sedap hati semasa menunggang Kriss buruknya ke tempat kerja tadi. Rakan-rakannya juga terkejut mendengar perkara tersebut. Dia curiga bercampur takut. "Apa pulak balanya kali ni," jerit hatinya. Di bilik mesyuarat kelihatan Encik Murad dan Encik Latif sedang berbincang tentang sesuatu. Syam terkejut apabila melihat Munsyi yang mempengerusikan mesyuarat tersebut. Hatinya mula berdegup kencang. Syam diminta berdiri di hadapan mereka. "Syam, saya perkenalkan ini Encik Munsyi, pengurus besar bahagian logistik Shell Malaysia". Berderau darah Syam apabila mendengar penjelasan itu. Syam telah kantoi dengan bos besarnya sendiri! Dia berserah pada tuhan.
"Awak telah menipu syarikat ini Syam, awak tidak jujur," kata Encik Munsyi memulakan bicara. Syam cuba mempertahankan dirinya tetapi cepat-cepat dipotong oleh Encik Munsyi. Syam hanya mampu terdiam kaku. "Syam, saya sudah periksa latar belakang kamu. Graduan ijazah sarjana muda undang-undang dari UiTM dengan keputusan 'second class upper'. Apa yang kamu cuba buktikan sebenarnya dengan memohon untuk menjadi pemandu lori tangki di syarikat ini? Kamu bohong kami Syam. Kamu tidak layak untuk jawatan ini," jelas Encik Munsyi dengan panjang lebar. "Memang saya telah mengesyaki sesuatu apabila melihat sijil SPM kamu Syam, sebab itu saya panjangkan perkara ini kepada Encik Munsyi," tambah Encik Murad. Syam mendongak ke syiling, mungkin merenung nasibnya selepas ini dan kemudian dia bersuara, "Izinkan saya mempertahan diri encik. Memang benar apa yang encik katakan tentang kelayakan akademik saya tetapi saya tidak pernah berbohong encik. Saya hanya tidak mengepilkan ijazah saya kerana saya tahu mustahil untuk encik menerima saya sebagai pemandu lori tangki dengan kelayakan ini. Tetapi saya sudah buktikan encik bahawa saya juga seorang pemandu yang baik walaupun mempunyai segulung ijazah. Jadi saya rasa tiada isu di sini. Saya adalah pekerja yang kompeten untuk syarikat ini!". Pengurus-pengurus itu terdiam seketika. Memang benar apa yang Syam katakan kerana dia adalah seorang pekerja yang bagus. Syam juga dapat mengagak bahawa masanya telah tiba untuk pergi dari syarikat itu. Dia pasti dipecat!
"Kerana kesalahan kamu menipu syarikat, kamu akan dipecat dari jawatan kamu selaku pemandu lori tangki syarikat kami," kata Encik Munsyi degan tegas. Syam yang sudah mengagak nasibnya menerima keputusan itu dengan tenang, mengucapkan terima kasih dan ingin berlalu pergi dari situ. Namun hasratnya itu terbantut apabila ditahan oleh Encik Latif, "Eh, nanti dulu. Kami belum selesai dengan kamu lagi". Syam yang sudah tidak bermaya hanya mampu merenung jauh. "Dengan ini syarikat bersetuju untuk melantik kamu ke jawatan eksekutif pengurusan dan pentadbiran bersesuaian dengan ijazah yang kamu miliki dan perlantikan ini berkuat-kuasa serta merta. Gaji yang ditawarkan ialah RM3500 sebulan selepas diambil kira gaji kamu untuk jawatan sebelum ini. Kamu bersetuju dengan tawaran ini?," kata Encik Munsyi. Syam masih lagi terpaku lalu berkata, "Encik bertiga nak merasa pelempang saya ke, cukup-cukuplah menghina saya encik, saya tahu saya ni orang susah, pemandu lori tangki sahaja. Balas Encik Munsyi, "Ya Allah budak ni, aku cakap betul-betullah, bukan main-main. Ini betul-betul, ini bukan cobaan!". Encik Latif dan Encik Munsyi hanya tergelak besar mendengar kata-kata itu. Mereka juga ketawa melihat telatah Syam yang kelihatan agak marah.
Tiba-tiba air mata panas mengalir ke pipi Syam. "Alhamdulillah, syukur ya Allah." kata Syam. Segala penderitaannya dirasakan tiba-tiba hilang. Dia ditenangkan oleh Encik Murad, "Kami tahu segalanya tentang kamu Syam dari Encik Munsyi. Encik Munsyi telah menyamar sebagai pemandu lori tangki dan mengintip siapa kamu sebenarnya. Jadi syarikat berasa amat bertanggungjawab apabila mengetahui ada pekerja yang mendapat ganjaran tidak wajar berdasarkan kelayakan mereka. Adalah zalim bagi syarikat untuk terus menggaji kamu sebagai seorang pemandu lori tangki sedangkan kamu mempunyai kelayakan yang agak tinggi". Penjelasan itu ditambah pula oleh Encik Latif, "Kami amat kagum degan semangat kamu Syam yang sanggup bermula dari bawah sedangkan kamu mempunyai kelayakan untuk berada di tempat yang lebih tinggi. Semangat ini tidak ada pada anak muda zaman sekarang. Kamu adalah aset syarikat ini Syam. Pengalaman kamu di peringkat bawahan amat bermakna dan sebab itu syarikat berani menawarkan jawatan ini kepada kamu, tahniah Syam".
Syam keluar dari bilik mesyuarat sambil disambut sorakan oleh rakan-rakannya. Masing-masing mengucapkan tahniah kepadanya tatkala Syam masih lagi diselubungi air mata. Mungkin air mata itu menggambarkan beban dan penghinaan yang ditanggungnya selama ini. "Pandai kau tipu kami Syam, rupanya kau ni peguam, padanlah dulu pergi temuduga pakai hitam putih," kata rakannya. Syam hanya mampu tersenyum kecil. Dia merasa amat gembira Tetapi apa yang bermain di benak fikirannya sekarang adalah mama dan abahnya di kampung.
Syam pulang ke Lekir dengan memandu Toyota Rush yanag baru dibelinya dua hari lepas. Kelibatnya diperhati jelas oleh jiran tetangga. Masing-masing mula membuat andaian tentangnya. Masakan pula pemandu lori tangki boleh memiliki Toyota Rush, jauh panggang dari api! Mama juga sedikit bingung apabila melihat kereta idamannya diparkir di hadapan rumah. "Siapa pulak datang ni, cantiknya Rush," getus mama. Terkejut besar apabila melihat anak sulungnya muncul dari dalam kereta. Mereka bersalaman dan berpelukan mesra. Semuanya dijelaskan secara terperinci oleh Syam. Minggu depan ibunya berjanji untuk membuat kenduri kesyukuran tentang jawatan baru anaknya itu. Mulut-mulut orang kampung yang sering melemparkan tohmahan terkatup rapat, Kak Kiah terutamanya. Masakan tidak, anak-anak mereka yang baharu setahun dua bekerja hanya mampu memiliki kereta nasional sahaja. Syam lega, mamanya turut tumpang gembira. Nah kau orang kampung!
Syam melabuhkan punggungya di tembok batu itu, melunjur kaki, menghadap laut, kali ini dia tidak lagi keseorangan. Dalam pelukan erat ialah Cik Nor Izzah yang baru dinikahinya pada minggu lepas. Hatinya memanjatkan setinggi kesyukuran kepada tuhan kerana nasibnya telah berubah. Dia bersyukur kerana berjaya mengharungi segalanya dengan tabah. Sesungguhnya semua itu mengajarnya tentang erti kesusahan, erti keikhlasan dan erti kehidupan sebenar. Bersyukurlah dengan apa yang ada kerana ada insan yang lebih menderita daripada kita. Terima kasih tuhan. Syam menghirup bayu laut, masih lagi tanpa rokok, bunyi kicau burung menjadi halwa telinga. Hatinya tidak putus-putus mengucapkan kalimah syukur. Syam hanya tersenyum simpul apabila melihat seorang insan yang sedang merenung jauh di seberang sana, realiti dirinya suatu ketika dahulu.
(Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata)
Monday, 25 July 2011
SUKSIS…sejenak mengimbau memori
Sunday, 26 June 2011
Facebook dan sulit
Tiada istilah sulit dengan facebook.
Sekali anda melangkah tiada jalan pulang.
Sulit itu bohong.
Terpacul bibit-bibit keburukan.
Salah interpretasi suatu kepastian!
Saturday, 18 June 2011
Kegembiraan itu anugerah tuhan
Malangnya kita lupa bahawa kegembiraan juga adalah hak ekslusif tuhan. Dia yang masukkan perasaan tersebut di celah-celah hati kita. Bukanlah sebab makhluk kita akan gembira tetapi perasaan itu ekslusif darinya.
Kadang-kala kita telah mencapai sesuatu tetapi tiada gembira yang menyelinap dalam hati kita. Kenapa ini terjadi? Apabila kita mencapai sesuatu pasti kita gembira bukan? Hal ini kerana nikmat 'kegembiraan' itu tidak dikurniakan tuhan kepada kita walaupun kita telah mencapai sesuatu yang membanggakan.
Kita cuba sedaya-upaya untuk menggembirakan hati orang lain. Tapi kegembiraaan itu hak ekslusif tuhan rupanya dan dia berhak untuk mengurniakan kepada sesiapa yang dia hajati.
Baru aku sedar bahawa kegembiraaan itu bukan rancangan kita. Sehebat manapun kita, pencapaian kita tetapi akhirnya kegembiraaan itu milik tuhan jua. Aku cuba untuk buat mereka gembira tetapi aku rasakan sambutannya hambar. Inilah yang dinamakan kerja tuhan. Ditariknya nikmat gembira dari hatiku dan digantikan pula dengan perasaan ini. Tuhan maha hebat.
Telah tuhan buktikan pada diriku, bukan aku yang boleh memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada hambanya yang lain melainkan Dia juga yang memegang kuncinya. Aku pasrah. Mungkin ini balasan untuk semua dosa-dosaku. Aku perlu bersyukur kerana limpahan nikmat ini walaupun tanpa kegembiraan itu sendiri.
Terima kasih tuhanku. Kambuskanlah aibku. Jelmakanlah kegembiraan dalam hati mereka kerana kegembiraan mereka pasti akan menggembirakan aku juga.
Friday, 29 April 2011
tinggi
TAK MIMPI
kat DRMM lepas exam aku tengok die. same tinggi dengan aku rupenye makcik ni. aku tegur die. woi ko lagi tinggi dari aku rupenye...hahaha...kami gelak. die kata kasut die tebal.
DALAM MIMPI
petang tu balik n tido...zzzzz...aku berada dalam train. 1row ada 6 seat, 3 kiri 3 kanan. sebelah kanan aku lelaki.siapa ntah. sebelah kiri aku.WOW! si tinggi rupenye.aku da gelabah da.cmne die bole dduk sbelah aku.
cnor mane? hahaha...die ada 1 row jugak tapi sit sebelah sana. dari sit die, die boleh nampak aku.
si tinggi tido. tapi mcm nyenyak tak nyenyak je...hahaha. tiba2 aku rasa benda panas kat tangan kiri aku.WOW! si tinggi pegang tgan aku rupenye. aku tergamam, lagi gelabah aku. sekali lagi WOW! cnor nampak rupenye dari sit die. KANTOI. si tinggi terus tarik tgan die n buat2 tido...hahaha.
aku pandang cnor sambil buat muke tak bersalah...hahaha...punyelah gelabah sampai tejaga dari mmpi siang!
kesimpulannya: bukan aku yang gatal k, die yg pgang tgan aku tanpa aku sedari (dalam mimpi la...) hahahahaha
Monday, 28 February 2011
biarkan ia marak membara
hati itu marak membara
mimpi indah bagai abu berterbangan
suaramu yang tidak lagi kudengar
dalam kesepian ini
dimana kau bila hati kita terluka
dimana kau bila semuanya jadi tak keruan
tidak kusangka semua ini hanya satu pembohongan
di manakah dikau?
berapa lama kau boleh menahan kepediahan ini
berapa lama kau boleh sembunyi dari realiti
berapa lama kau ingin hidup dalam ketakutan
adakah kau takut?
berapa lama permainan ini perlu diteruskan
adakan kau akan bangkit melawan
atau lari sembunyi
biarkan ia marak membara!
hati itu marak membara
keinginan ini hampir padam, malap
pengajaran yang selalu diabaikan
hanya diselubungi kesamaran
adakah hidupmu hanya tentang sebuah janji yang dimungkiri
adakah cintamu bagai satu titis hujan
yang tidak mampu memadamkan api ini
adakah kau masih di sana
adakah memori ini akan menghantui selamanya?
Tuesday, 8 February 2011
owhhhh
Kondisi aku juga berubah. Status berubah. Rakan-rakan turut berubah. Hidupku berganjak. Bagai satu bulatan, selepas lengkap satu pusingan aku kembali ke satu titik asal. Bayangkan 6 semester ini merupakan satu roda kehidupan, semester akhir ini kurasa bagai berada di semester 1. Aku hampir melengkapkan pusingan ini! Aku kini berada di titik itu!
Apa ada pada titik asal? Kehidupan yang agak membosankan-terperuk di Jati. Kurang keakraban-berada dalam proses suai kenal. Status kewangan hampir sama-walaupun jauh lebih baik. Kesedaran belajar meningkat. Kepatuhan kepada SUKSIS- tahap tertinggi.
Jadi apa masalahnya semester ini? Kebosanan menggila. Kawan-kawan lepak telah berpecah. Tidak seakrab dulu, ya bagaikan masih dalam proses suai kenal. Kawan yang berumah tangga punyai tanggungjawab yang perlu dipikul, amanat Tuhan. Kawan-kawan yang berpacaran, lumrah alam. Kawan-kawan kaki wayang, kaki lepak di mamak sedang berpraktikal. Hanya aku yang terperangkap "in the middle of nowhere". Bagai berada di titik asal itu- rasa keseorangan.
Ekonomi? Perlu mengorak langkah drastik. Semuanya mesti berhemah. Aku bukan muda lagi, sudah layak mengundi, sudah boleh mendukung dua bayi serentak. Simpanan tetap perlu ada demi masa depan yang tidak menentu. Tidak boleh lagi joli katak sesuka hati. Duduk di bilik dan online. Bagai berada di titik asal itu- rasa kesempitan.
Study? Semangat seperti semester 1 tapi masih lagi malas. Cuma kesedaran tiba-tiba menggunung. Mengharapkan yang terbaik untuk diri dan keluarga, agar menjadi contoh ikutan yang bongsu-bongsu. Gementar jika gagal. Bagai berada di titik asal itu- fikiran skema.
SUKSIS? Rasa patuh bagai sebati dengan diri. Rasa takut untuk memberontak, menentang, melawan. Kenapa? Mungkin sejajar dengan usia dan kematangan, jiwa memberontak hilang sedikit demi sedikit. Bagai berada di titik asal itu- takut, patuh.
Apa lagi? Dia masih kekal di sisi. Hampir tiga tahun berkongsi suka duka. Muka hendak makan penumbuk. Tapi seribu kali lebih bagus dari yang mengada-ngada. Sejuta kali lebih bagus dari yang perasan bagus tetapi suka menyusahkan lelaki. Kecil hati jarang sekali, paling kurang muncung hingga ke petang. Tetapi semuanya diambil mudah, jadi tiada keserabutan apatah lagi keributan yang mungkin meloyakan orang lain untuk mendengarnya. Tahniah!
Kepada kawan yang kurasa paling banyak berjasa kepadaku sepanjang 6 semester ini, tanpa henti menyediakan nota-nota, mengajarku tanpa jemu, mengurus kelas dengan jayanya, anda mengingatkanku kepada seseorang, yang telah lama kutinggalkan di sekolah menengah, ALI namanya. Aku selalu meniru kerja rumahnya, meminta dia mengajarku, selalu sahaja menyusahkan dia. Begitu juga aku merasakan diriku yang sentiasa menyusahkan engkau. Nasib aku baik sedikit berbanding ALI, walaupun aku selalu menyusahkan dia tetapi resultku sentiasa melebihinya, baik PMR mahupun SPM. Tapi itu dulu kerana rezekinya sekarang lebih baik dariku, melanjutkan pelajaran dalam perubatan keluar negara! berbanding diriku yang hanya menumpang di sini. Nasibmu juga sama seperti ALI, sentiasa membantuku tetapi rezekimu kurang sedikit berbandingku. Tetapi aku percaya dengan seyakin-yakinnya bahawa nasibmu akan menjadi seperti ALI, lebih berjaya dariku lagi di masa hadapan, berkat usaha ikhlasmu yang sering membantu rakan-rakan tanpa kenal jemu. Percayalah, Tuhan akan membalasnya dengan kenikmatan yang tidak terjangkau oleh fikiranmu. Mungkin ketika itu aku hanya seorang kakitangan kerajaan bergaji tetap sedangkan engkau peguam terkenal berpendapatan lumayan. PERCAYALAH! Terima kasih daun keladi, jasamu mustahil untuk kubalas kawanku. Jangan lupa aku nanti pabila sudah berjaya.
Aku bersyukur dengan hidupku ini. Putaran roda BLS hampir lengkap. Cuma sedikit perisa dan rempah yang perlu ditambah. Mari kawan-kawan kita menghayati alam ini sebelum masuk ke lapangan pekerjaan yang pasti membosankan :)
Wednesday, 12 January 2011
Doa ketika bersedih dan gundah
اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ، مَاضٍ فِـيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِـيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَداً مِنْ خَلْقِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِي، وَنُوْرَ صَدْرِي، وَجَلاَءَ حُزْنِي، وَذَهَابَ هَمِّي
“Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak dari hamba-Mu, ubun-ubunku (nasib-ku) ada di tangan-Mu, telah lalu hukum-Mu atasku, adil ketetapan-Mu atasku, aku mohon kepada-Mu dengan perantara semua nama milik-Mu yang Engkau namakan sendiri, atau Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau Engkau ajarkan seseorang dari hamba-Mu, atau Engkau rahasiakan dalam ilmu ghaib disisi-Mu. Jadikanlah Al Qur’an sebagai penawar hatiku, cahaya dalam dadaku, penghapus dukaku dan pengusir keluh kesahku“
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari keluh kesah dan rasa sedih, dari kelemahan dan kemalasan, dari sifat bakhil dan penakut, dari cengkraman utang dan laki-laki yang menindas(ku)“
Doa Rasulullah s.a.w ketika bersedih
Ya Allah… Kepadamu aku mengadukan kelemahan kekuatanku
Dan sedikitnya kemampuanku
Dan kehinaanku dihadapan manusia
Wahai Yang Maha Penyayang
Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah
Tuhanku
Kepada siapa engkau serahkan aku
Kepada orang yang jauh yang menggangguku
Atau kepada musuh yang akan menguasai urusanku
Asal Kau tak marah padaku maka semua itu bukanlah masalah
bagiku
Selain dari Keafiatan-Mu yang lebih luas dari yang ada padaku
Aku berlindung dengan Cahaya Wajahmu yang akan menerangi
seluruh kegelapan
Dan akan memberikan kebaikan pada seluruh urusan dunia dan
akhirat
Untuk melepaskan aku dari Marah-Mu
Atau menghilangkan Murka-Mu dariku
Hanya pada-Mu aku merintih berharap mendapatkan Keridhaan-Mu
Dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan-Mu...
:::kalau inilah takdirnya ya allah...aku redha