Oleh Adnil Mohd
Selayang -- Pemuda UMNO Selangor hari ini mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang menangguhkan penurunan cukai pintu sebanyak 20 peratus seperti yang terkandung dalam manifesto mereka pada pilihanraya umum lalu.
Ketuanya, YB Abdul Shkor Idrus berkata selain projek ratusan juta penternakan babi, setakat ini belum ada satu pun janji yang benar-benar dilaksanakan kerajaan negeri.
Beliau seterusnya melahirkan kekhuatiran terdapat banyak lagi alasan dan dolak dalih yang akan diberikan kerajaan negeri selepas ini dalam melaksanakan janji-janji mereka.
"Amat malang bagi penduduk Selangor yang sehingga hari ini masih belum menerima sebarang manfaat daripada kerajaan baru setelah tertarik dengan pelbagai janji yang ditawarkan pada pilihan raya umum lalu.
"Apa yang mereka benar-benar dapat hari ini hanyalah projek penternakan babi yang menelan belanja ratusan juta ringgit di Sepang", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penangguhan penurunan cukai pintu sebanyak 20 peratus oleh kerajaan negeri seperti dijanjikan sebelum ini, sebaliknya akan memberikan insentif kepada pembayar cukai pintu.
Menurut Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kajian terperinci sedang dilakukan sebelum melaksanakan penurunan cukai pintu itu berikutan tahap pembangunan ekonomi negeri masih belum sampai tahap diinginkan dan harga tanah yang semakin tinggi di samping pelaksanaan projek-projek perumahan yang masih berterusan.
Mengulas lebih lanjut, Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kuang seterusnya berkata rakyat sudah semestinya tertanya-tanya kenapa projek ratusan juta penternakan babi menjadi keutamaan berbanding janji-janji lain yang boleh memberi manfaat kepada seluruh rakyat di negeri ini.
"Kita bukannya mahu mempertikaikan hak kaum lain tetapi kenapakah projek tersebut begitu pantas mendapat lampu hijau daripada kerajaan negeri sedangkan janji mereka yang lain seperti penurunan cukai tanah ini ditangguhkan termasuk pemberian bekalan air percuma.
"Kita cukup sangsi apakah kerajaan negeri di bawah Tan Sri Khalid duduk di bawah telunjuk DAP atau sebenar-benarnya menjadi kerajaan untuk rakyat", soalnyanya.
Beliau turut menegaskan Pemuda negeri akan terus memainkan peranan untuk mendesak kerajaan negeri melaksanakan segala janjinya pada pilihanraya umum lalu.
"Kita akan desak mereka berpandukan manifesto yang dikemukakan kepada pengundi pada pilihan raya lalu. Kita bukannya mahu mencari populariti dan memanipualsi keadaan, sebaliknya memastikan hak yang sepatutnya diterima oleh rakyat Selangor dilaksanakan.
"Apa yang kita harapkan penduduk sepakat dan berpadu tenaga bersama-sama dengan kita untuk menuntut perkara ini", ujarnya.
0 ◄ cOmment(s):
Post a Comment